Kacang Lupakan Kulit

Ada satu kisah, semasa pokok kacang mula mengeluarkan buah di dalam tanah. Sang biji memohon daripada induknya supaya ditemani semasa keluar nanti. Ia khuatir kedinginan dan berasa takut kegelapan apdbila keluar. induknya iaitu batang pohon kacang, menyatakan kesanggupan menerima perminta sang biji. Oleh itu, kulit pun dibuat bagi membungkus biji supaya bebas daripada tekanan tanah dan serangga tanah yang sering menghancurkan biji kacang.

Demikianlah sang biji mulai keluar dan mendapati dirinya dalam dakapan hangat dan terlindung. Suasana takut yang dibayangkan rupa-rupanya tidak seperti yang disangkanya. Sebuah cengkerang yang lebih besar daripada dirinya melingkupi dan membungkusnya sedemikian rupa. Inilah yang membuatkan ia tetap hangat dan terus tumbuh menjadi biji yang matang tanpa gangguan. Sementara si kulit, iaitu cangkerang terus menahan dingin dan tekanan tanah bagi melindungi sang biji.


Kini tibalah saat menuai. Petani mula memetik setiap batang kacang dengan memilih kacang yang berbiji dua, tiga ataupun lebih bagi menjual dengan harga yang berbeza. Keadaan sudah berubah. Kini sang biji tidak lagi berada di tanah tetapi berada dalam udara bebas yang lebih segar dan tidak menakutkan. Semuapengutip kacang lebih fokus kepada biji kacang, bukan kepada kulitnya. Tiada seorang pun yang menyatakan betapa biji kacang yang begitu enak dan besar adalah kerana kulit yang begitu melindunginya. Sang biji pun 'lupa' kepada kulit yang membungkusnya sekian lama semasa sang biji dipuji-puji kerana keindahan dan kelazatan yang dinikmati oleh manusia. Bukan hanya itu, semasa kulit dibuka dan biji diambil, kulitnya hanya dibuang begitu sahaja. Tiada ungkapan terima kasih diucapkan sang biji kepada si kulit. Hal yang serupa pun terjadi semasa sang biji mula bercambah mengeluarkan tunas baru. Serta-merta kulit perlahan-lahan dilupakan bahkan busuk tanpa diketahui sang biji yang lebih menumpukan tunas baru yang mula tumbuh. Ini kisah indah bagaimana kita sering lupa mengucapkan terima kasih bagaikan kacang lupakan kulit.

No comments: